TANJUNG MALIM: Tiada kes keracunan makanan dilaporkan membabitkan bazar Ramadan di seluruh negeri setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, keadaan itu menunjukkan tahap kebersihan dan pengendalian makanan dalam kalangan pengusaha bazar Ramadan semakin baik.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan keracunan makanan kerana ia berkait rapat dengan keselamatan orang ramai.
“Bagi tahun ini saya agak berpuas hati kerana tidak dengar cerita seperti dulu ada yang maut akibat keracunan makanan, tahun ini tiada, tahun lepas pun tiada kes seperti itu.
“Ada pun kes-kes yang tidak berat seperti pengusaha tidak memakai apron dan kasut ketika mengendalikan makanan. Walaupun ia satu kesalahan, kita akan nasihat terlebih dahulu.
“Pendekatan menasihati pengusaha akan dilakukan pada kesalahan pertama, namun tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya kesalahan itu berulang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan baju raya di hadapan Kedai Pakaian Ten Ten di Pekan Bidor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengusaha makanan dan peniaga bazar Ramadan yang telah memastikan makanan dijual dalam keadaan bersih dan selamat dimakan.
Katanya, pada masa akan datang pihaknya bercadang memperluaskan pemantauan bukan sahaja daripada aspek kebersihan tetapi juga kandungan nutrisi makanan.
“Saya akan minta pegawai turun padang untuk memantau khasiat dalam makanan seperti kandungan gula, lemak dan sebagainya.
“Dari segi kesihatan, kebersihan sahaja tidak mencukupi. Makanan yang dijual juga perlu berkhasiat dan sihat untuk pengguna,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, seramai 150 pelajar dari sembilan sekolah menerima sumbangan pakaian raya melibatkan peruntukan berjumlah RM22,500, selain duit raya.
Katanya, pemilihan penerima dibuat oleh sekolah masing-masing, namun sekiranya ada ibu bapa yang memohon bantuan sama, permohonan itu akan dipertimbangkan pihaknya.
“Pada masa akan datang untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai sahaja, kita akan keluarkan tambahan peruntukan jika ada tambahan permintaan. Saya akan tambah daripada dana saya sendiri,” katanya. – UTUSAN










