PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk melaksanakan proses evakuasi anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 yang kini bertugas di Lubnan ekoran situasi yang masih terkawal di sana.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun kerajaan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlukan selain meningkatkan langkah perlindungan pasukan selaras dengan tahap waspada semasa pada masa kini.
Katanya, pasukan Malbatt 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama (MAB) akan terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta agensi berkaitan.
“Keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dan semua anggota Malbatt 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat.
“Situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta MALBATT 850-13 di selatan Lubnan menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF)dan Hezbollah,” katanya dalam kenyataan hari ini.










