ATM tunggu lampu hijau sertai misi pasukan pengaman Gaza

ATM tunggu lampu hijau sertai misi pasukan pengaman Gaza

MOHD. Nizam Jaffar (kanan) ketika majlis penghantaran MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini. Gambar: Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi sekiranya kerajaan memutuskan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, Malaysia sentiasa komited terhadap usaha keamanan sejagat dan bersedia digerakkan sebaik sahaja mandat rasmi diterima daripada PBB.

“ATM telah menyediakan beberapa opsyen penghantaran, sama ada misi berbentuk pure mechanized sepenuhnya atau digabungkan dengan elemen logistik serta perubatan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghantaran MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Malaysia bersedia menghantar satu batalion bagi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza sekiranya mandat daripada Majlis Keselamatan PBB diluluskan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kesediaan itu menunjukkan komitmen Malaysia dalam memainkan peranan aktif menegakkan keamanan antarabangsa dan menyokong tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

Mohd. Nizam menjelaskan, bentuk penyertaan itu akan ditentukan apabila kerajaan menerima maklumat lengkap mengenai mandat dan tarikh penugasan yang akan diberikan oleh PBB.

“Yang ini akan ditentukan apabila kita tahu bila dan mandat yang diberikan kepada kita. Insya-Allah Malaysia komited dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengumumkan kesediaan untuk menghantar tentera pengaman ke Gaza,” katanya.

Menurutnya, keputusan rasmi dijangka diperoleh menjelang hujung tahun ini bergantung kepada perkembangan semasa konflik Gaza serta keputusan muktamad PBB berhubung penubuhan pasukan pengaman di wilayah berkenaan.

“Kita berharap dalam sebulan dua ini akan ada perkembangan positif, dan menjelang hujung tahun ini kita akan dimaklumkan keputusan sama ada misi ini dilaksanakan di bawah mandat PBB atau sebaliknya,” katanya.

Katanya lagi, ATM memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan misi antarabangsa termasuk di beberapa negara seperti Lubnan yang membuktikan keupayaan anggota dalam operasi di kawasan konflik.

“Insya-Allah, jika mandat diberi, ATM akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh maruah dan semangat juang seperti yang telah kita buktikan di Lubnan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×