Terpulang diri sendiri, mahu berubah atau sebaliknya - Mamat Exists - Utusan Malaysia

Terpulang diri sendiri, mahu berubah atau sebaliknya – Mamat Exists

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERMULA dengan hati kita.”

Ayat ringkas, tapi membekas itu diucapkan tatkala Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat Exists bercerita mengenai proses pemulihannya daripada masalah penyalahgunaan dadah.

Mamat menjalani rawatan dan pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) sejak Ogos 2024. Jika dihitung, tinggal berbaki empat bulan untuk penyanyi ini menamatkan tempoh pemulihan di persatuan tersebut.

“Bukan mudah untuk berubah, Tapi ia tidak mustahil. Yang penting adalah persekitaran. Jika kehidupan terus terdedah dengan bahan terlarang, hati kita tidak akan pernah terbuka untuk berubah.

“Ramai penagih, selepas berhenti, mereka kembali bergelumang dengan najis dadah. Keadaan itu diistilahkan sebagai relapse.

“Saya, ke mana pergi sekarang ini pasti ditemani seorang wakil PENGASIH yang menjadi pembimbing.

“Tapi saya tidak mahu bercakap besar, kononnya sudah bebas daripada najis dadah. Esok lusa tidak tahu nasib kita bagaimana,” katanya.

Pada Januari 2024, Mamat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan mengambil dadah jenis metamfetamina pada 2019.

Penyanyi tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, sekaligus dikenakan denda RM4,000 dan diperintahkan menjalani pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan di Bentong, Pahang.

Anak jati Tampoi, Johor Bahru ini bersyukur kerana sepanjang menjalani proses pemulihan di PENGASIH, banyak perubahan yang dalam hidupnya asbab bimbingan menerusi program yang dijalankan di persatuan berkenaan.

“Dadah ini penyakit. Penagih memerlukan bantuan untuk membebaskan diri daripada bergelumang dengan najis ini. Terpulang diri sendiri, mahu berubah atau sebaliknya,” ujarnya.

Mamat juga berterima kasih kepada pihak PENGASIH yang bukan sahaja menjaga kebajikan penghuninya, malah sentiasa proaktif dalam membantu memulihkan bekas penagih.

“Kebajikan kami di PENGASIH terjaga. Berat badan saya naik kerana diberi makan minum yang lazat. Pelbagai aktiviti dan program seperti kelas fardhu ain dan solat sunat Tarawih juga dianjurkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya lagi.

Salah faham 

Ditanya mengenai dakwaan yang kononnya ingin dikenali sebagai nama Mamat Mekar, Mamat menjelaskan hal demikian cuma sekadar salah faham.

“Sebelum ini ada peminat menyangka saya telah menukar nama pentas kepada Mamat Mekar. Saya ingin membetulkan salah faham itu.

“Secara rasminya saya masih menggunakan nama Mamat Exist, tidak pernah menukar nama kepada Mamat Mekar.

“Perkataan Mekar itu merupakan nama syarikat yang menganjurkan showcase saya tempoh hari. Ia sebahagian perkataan yang digunakan sebagai tajuk showcase tersebut.

“Peminat mengenali saya sebagai Mamat Exists. Jenama itu kuat, sekukuh ikatan persahabatan saya dengan ahli Exists yang lain,” katanya.

Mamat memaklumkan dia tidak pernah bermasam muka dengan ahli Exists yang lain hanya disebabkan salah faham yang timbul berhubung nama tersebut.

“Kami sebenarnya baru sahaja berjumpa. Jadi spekulasi kami bermasam muka itu tidak benar. Mereka ini abang saya, hubungan kami sangat baik.

“Walaupun saya hanya muncul dalam beberapa konsert Exists, setiap kali diajak membuat persembahan bersama, saya penuhi.

“Di usia sekarang ini kami hanya mahu mencari rezeki bersama, bukan perbalahan,” jelasnya lagi.

Kata bapa tiga cahaya mata ini, dia bersyukur kerana tidak putus menerima sokongan daripada rakan-rakan dalam kumpulan Exists yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap dirinya.

“Mereka memahami keadaan saya dan tidak pernah putus memberikan kata-kata semangat.

“Malah, abang-abang saya ini sentiasa berkongsi rezeki, panggil saya membuat persembahan dengan mereka.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan kawan-kawan yang baik seperti mereka,” ujarnya.

Ijmal Cinta Ramadan 3.0 

Mamat tidak mengambil masa lama sebelum menyatakan persetujuan untuk terlibat menjayakan konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada 14 Mac ini.

Malah pelantun lagu Oh Ibu ini berbesar hati apabila dipilih menjadi sebahagian barisan penyanyi era 80-an dan 90-an yang bakal memeriahkan acara tersebut.

“Acara ini merupakan platform yang baik untuk barisan artis terlibat membantu dalam usaha penganjur mengutip sumbangan untuk disalurkan kepada golongan artis yang tidak bernasib baik.

“Itu sebabnya saya terpanggil untuk turut serta menjayakannya pada 14 Mac ini,” kongsinya.

Disoal mengenai lagu yang akan dipersembahkan pada acara itu, Mamat berkata dia bakal menyanyikan lagu-lagu hits yang sebelum ini sering menerima permintaan ramai untuk dipersembahkan.

“Saya akan mempersembahkan empat lagu, antaranya lagu Hari Raya dan juga lagu-lagu popular seperti Oh Ibu.

“Yang penting lagu-lagu yang saya sampaikan nanti haruslah bersesuaian dengan tema,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN