SETELAH hampir dua tahun dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan kerajaan negeri, Haris Salleh Hamzah, 47, terus memikul amanah menjaga kebajikan penduduk termasuk mencongak hal ehwal pembangunan setempat di Jerantut.
Haris Salleh yang juga seorang peguam berkata, beliau telah turun padang di keseluruhan tempat di daerah itu berjumpa penduduk dengan membawa misi pembangunan yang dirancang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Sama seperti tugas sebagai peguam tentu sekali memikul amanah untuk menyelesaikan banyak kes yang saya kendali malah hampir sama dengan tugas sebagai ADUN sebab menggunakan fikiran, tetapi menerusi pendekatan berbeza.
“Tujuannya tetap sama, iaitu pada penghujungnya dapat menggembirakan pelanggan sebagai seorang peguambela dan peguamcara dan juga kepuasan serta
keselesaan kehidupan penduduk daerah atau Parlimen di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Haris Salleh anak kelahiran Kampung Koi, Damak merupakan lepasan Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Lipis dan pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, misi tugasnya itu lebih mencabar, iaitu menumpukan pembangunan di mukim Ulu Tembeling dalam kawasan DUN Tahan.

BIODATA:
HARIS SALLEH HAMZAH
Tarikh lahir: 21 April 1979
Usia: 47 tahun
Asal: Kampung Koi, Damak, Jerantut.
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Undang-
Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – 2000-2004
Diploma Lanjutan Syariah Universiti Teknologi Mara (UiTM) – 2021-2022
Tugas kerajaan negeri:
ADUN Lantikan mulai 13 Mei 2024
Kerjaya dan Pengalaman:
Peguambela dan Peguamcara
Pegawai Undang Wong-Chooi & Mohd Noor, Kuala Lumpur – 2005-2008
Pemilik firma Haris Salleh & Co.
Ahli Majlis Bar Council
– 2004-sekarang
Ketua UMNO Jerantut
– 2023
Penyelaras DUN Pulau Tawar – 2023-2025
Ahli Lembaga Pengarah Pahang Mining Corporation – 2023
Katanya, berbanding dengan DUN Damak dan DUN Pulau Tawar, Ulu Tembeling (dalam DUN Tahan) agak unik lagi mencabar dengan kedudukan geografi, iaitu aliran.

Sungai Tembeling sejauh 100 kilometer dari kawasan ulu, hutan dan bukit serta habitat pelbagai spesies liar di Taman Negara Kuala Tahan.
“Fenomena geografi dan alam yang terdedah kepada keadaan cuaca Monsun Timur Laut setiap tahun memungkinkan kerap berlaku banjir dan hakisan serta berlaku runtuhan dan mendapan jalan raya yang menyebabkan kira-kira 4,000 penduduk berdepan dengan kesulitan ke bandar Jerantut.
“Saya juga berdepan dengan suara skeptikal bagi sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil berat untuk mempercepat usaha baik pulih kerosakan jalan serta ada juga menuntut supaya disegerakan menurap tar jalan masuk ke kampung,” katanya,
Mengulas dakwaan segelintir penduduk, Haris Salleh yang tidak cepat melatah serta biasa dengan rungutan berkenaan berkata, kerajaan negeri ‘tidak duduk diam dan sangat prihatin’, iaitu sedang dan akan terus melaksanakan projek baik pulih Jalan Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling termasuk kawasan perkampungan Melayu di pesisir Sungai Tembeling,
Katanya, setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan peruntukan banyak untuk kerja membaikpulih di samping melancarkan projek baharu jalan kampung ke sekitar kampung pesisir sungai seperti Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Bukit Mat Daling dan Kampung Gusai.
“Setiap kali turun ke kampung tersebut, saya terus menjelaskan agenda projek berkenaan sedang diselenggarakan secara berperingkat serta mengambil masa untuk disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Haris Salleh berkata, dia telah turun lapangan ke tapak projek itu pada 25 Februari lalu dan menghadiri sesi taklimat di Pejabat Tapak di Kampung Bukit Mat Daling bagi meninjau status semasa Projek Jalan Perhubungan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling serta pembinaan Jambatan ke Sekolah Kebangsaan Gusai di Mukim Ulu
Tembeling dan melihat sendiri projek itu sedang diselenggarakan.
“Hasil lawatan mendapati projek sedang berjalan dan tidak terbengkalai apabila kemajuan fizikal semasa mendahului jadual ditetapkan, iaitu susulan kelulusan lanjutan masa, tarikh siap terkini projek ditetapkan pada 10 April 2027,” katanya.
Bercakap tentang aspirasi kepimpinan di Jerantut, beliau memegang teras perjuangan keramatnya, iaitu Islah dan Wasatiyyah bagi mengembalikan dan mengamalkan konsep kesederhanaan berdasarkan prinsip keislaman dengan memfokuskan pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat.
Haris Salleh yang juga Ketua UMNO Jerantut berkata, beliau tidak berdepan masalah dalam tugasan kerana banyak dibantu oleh jawatankuasa UMNO bahagian itu, agensi kerajaan termasuk Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung. –UTUSAN










