NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia diminta menangguh seketika perjalanan ke Thailand ekoran stesen minyak di negara ini berdepan krisis kekurangan bekalan kesan perang di Asia Barat.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, situasi makin meruncing apabila stesen minyak kehabisan bekalan sekali gus terpaksa menutup operasi.
“Kita tidak melarang rakyat Malaysia mengunjungi bandar utama di Selatan Thai, namun mereka perlu sedar bekalan bahan bakar di stesen minyak sekarang tidak mencukupi.
“Contohnya daripada maklumat yang kami terima, sepanjang jalan dari Songkhla ke Krabi hanya ada satu sahaja stesen minyak yang mempunyai bekalan, itupun tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jarak perjalanan dari Songkhla ke Krabi ialah 296 kilometer.
Ahmad Fahmi memberitahu, walaupun jarak antara sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar ke Hat Yai antara 53 kilometer dan 59 kilometer sahaja, rakyat Malaysia perlu merancang perjalanan dengan rapi.
“Jarak itu dekat tapi kadang-kadang kita terlupa minyak kenderaan semakin sikit. Kita tidak mahu ada rakyat kita yang terkandas akibat ketiadaan bahan bakar,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, kekurangan bahan bakar yang berlaku di Wilayah Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun sekarang ini adalah disebabkan pembelian panik oleh penduduk tempatan.
Utusan Malaysia 16 Mac lalu melaporkan, stesen minyak di Pattani dan Narathiwat di sini mula mengehadkan pembelian petrol dan diesel kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu bagi mengelakkan kekurangan bekalan bahan bakar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati langkah tersebut diambil susulan krisis Asia Barat antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel yang menyebabkan harga bahan bakar meningkat mendadak, sekali gus mencetuskan peningkatan permintaan.
Seorang penduduk, Suhaibah, berkata ketika ini terdapat stesen minyak yang mula mengehadkan pembelian kepada tidak melebihi RM85.12 sehari bagi setiap kenderaan empat roda seperti kereta, van dan trak pikap.
Sementara itu, tinjauan di stesen minyak sekitar Narathiwat mendapati langkah sama turut diambil bagi mengelakkan kekurangan bekalan bahan bakar.
Seorang pekerja stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Shadiya berkata, arahan tersebut dikeluarkan oleh pemilik stesen sejak beberapa hari lalu susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Katanya, bagaimanapun pengguna masih boleh membuat pembelian bahan bakar bagi semua jenis kenderaan. – UTUSAN










