KOTA BHARU: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sedia menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang sekiranya diberi mandat oleh partinya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, selagi tiada arahan daripada parti, perkara itu masih belum relevan.
“Kita orang Pas bergantung kepada amanah yang diberikan. Selagi amanah itu tidak diberikan, kita tak boleh kata kita nak terima atau sebaliknya.
“Jadi, tidak timbul lagi, tak relevan. Kalau ada arahan, kita terima. Kalau tak ada arahan, tak,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai khabar angin mengatakan beliau antara yang akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.
Takiyuddin berkata, senarai muktamad dijangka diketahui hujung bulan ini atau awal bulan depan sebagaimana yang diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, ketua pembangkang itu mestilah dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Pas.
Sementara itu, Takiyuddin mengakui Ahmad Samsuri antara calon berpotensi bagi jawatan tersebut kerana beliau adalah Pengerusi PN.
“Pengalaman sebelum ini menunjukkan Menteri Besar juga boleh memegang jawatan ketua pembangkang tanpa menjejaskan pentadbiran negeri.
“Berdasarkan pengalaman 1999, Menteri Besar Terengganu ketika itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang, juga pernah memegang jawatan ketua pembangkang. Kita akan pilih siapa yang terbaik dalam kalangan kita secara kolektif, bukan individu,” ujarnya. – UTUSAN










