SUNGAI PETANI: Seorang daripada tiga suspek kes tembak komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang ditahan Sabtu lalu, telah mengekori anggota berkenaan ke pejabat dan masjid setiap pagi, sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, polis telah mengenal pasti individu berkenaan hasil risikan dan maklumat daripada saksi serta pengesanan identiti suspek melalui gambaran yang dicam pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa lebih kurang sebulan sebelum kejadian tembakan, termasuk ketika mangsa bergerak ke pejabat dan ke masjid.
“Suspek kini dalam siasatan untuk menentukan tahap penglibatannya dalam kes tembakan kereta komander AKPS berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis sudah menahan 10 individu bagi membantu siasatan kes tembak kenderaan dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.
Kesemua suspek berumur antara 22 hingga 58 tahun termasuk wanita warga Thailand, ditahan dalam serbuan berasingan sejak 25 hingga 28 Februari lalu di beberapa lokasi sekitar Bukit Kayu Hitam.
Adzli berkata, setakat ini kesemua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penyeludupan di sempadan, namun menafikan sebarang kaitan dengan insiden tembakan ke arah Proton X70 dipandu Mohd. Nasaruddin.
Katanya, mereka mengakui aktif menyeludup beras, karkas babi dan diesel serta lain-lain barangan di sempadan.
“Setiap individu yang ditahan akan disoal siasat secara teliti untuk menentukan sama ada terdapat kaitan langsung dengan insiden tembakan atau sebaliknya. Daripada 10 suspek yang ditahan, seorang telah dibebaskan dengan jaminan selepas polis berpuas hati dia tiada kaitan dengan insiden tembakan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kini tertumpu kepada usaha mengesan senjata yang digunakan serta meneliti pergerakan suspek sebelum kejadian, termasuk dakwaan suspek mengekori mangsa hampir setiap pagi.-UTUSAN











