BUTTERWORTH : Sempena musim perayaan ini, pusat beli-belah terkemuka, Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya di sini mengajak pengunjung untuk bersama-sama meraikan kempen Seindah Corak Aidilfitri iaitu satu interpretasi kontemporari terhadap warisan tekstil Melayu.
Kempen yang berlangsung dari 27 Februari hingga 29 Mac ini itu diilhamkan oleh keindahan seni songket, tenun, batik dan tekat selain menggabungkan kemahiran kraf budaya dengan ilustrasi moden untuk mencipta suasana perayaan yang imersif, ekspresif dan bermakna.
Menurut Sunway Carnival Mall dalam satu kenyataan, corak yang mengalir, motif simbolik serta warna yang terang mengubah suasana pusat beli-belah itu menjadi pengalaman raya yang dikongsi bersama, berteraskan budaya dan hubungan, sambil mengajak pengunjung merasai tradisi melalui pergerakan, interaksi dan sambutan bersama.

“Visual yang diinspirasikan daripada batik mengalir secara harmoni di seluruh ruang, bagaikan naratif tenunan yang menceritakan nilai-nilai raya iaitu kekuatan, keikhlasan, keharmonian, komuniti yang berkembang, kepedulian yang mengikat dan harapan yang membimbing.
“Kesemua elemen ini bersama-sama mewujudkan pengalaman yang meriah namun intim, mencerminkan semangat Raya sebagai sesuatu yang dirasai dan dihayati, bukan sekadar disaksikan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sunway Carnival Mall, Chai Wen Yew berkata, sambutan Hari Raya adalah tentang ‘pulang ke rumah’ iaitu kembali kepada keluarga, nilai-nilai serta tradisi yang membentuk siapa diri kita manakala ‘A Story in Every Motif’ pula merupakan kolaborasi antara Sunway Malls dan Sunway University yang dipersembahkan sebagai sebahagian daripada kempen tersebut.
“Diilhamkan sebagai projek penyelidikan-kreatif dan diketuai oleh Pensyarah Kanan yang memenangi pelbagai anugerah, Delas Santano dan Maslisa Zainuddin, inisiatif ini mengajak pengunjung meneroka warisan kaya tekstil tradisional Melayu melalui pengalaman Augmented Reality (AR) yang imersif.
“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4, 11 dan 17), projek ini menghidupkan makna tersirat di sebalik setiap motif sekali gus menjadikan pengalaman membeli-belah perayaan sebagai pertemuan bermakna dengan budaya, ilmu dan warisan hidup,” ujar beliau.

Menambahkan lagi kedalaman dan keaslian kepada sambutan itu ialah kolaborasi dengan artisan batik terkenal Tipah Jusoh dan Darus Idris iaitu pasangan suami isteri dari Kelantan yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam seni kraf batik.
Berinspirasikan warisan Pantai Timur, karya mereka menggabungkan motif tradisional Kelantan dengan sentuhan kontemporari, menghasilkan tekstil yang kaya dengan nilai budaya dan keindahan visual.
Seni mereka membawa jiwa kepada Seindah Corak Aidilfitri, membolehkan pengunjung Sunway Carnival Mall merasai batik bukan sekadar sebagai dekorasi, tetapi sebagai satu bentuk seni yang hidup.

Secara umumnya, kempen Seindah Corak Aidilfitri direka sebagai pengalaman pelbagai deria untuk mengajak pengunjung meneroka ruang pada kadar mereka sendiri, menawarkan detik-detik penemuan, peluang bergambar serta kejutan halus di pelbagai zon di seluruh pusat beli-belah.-UTUSAN










