PETALING JAYA: Kedah dijangka berdepan cuaca panas tahap dua atau gelombang haba yang berterusan sekurang-kurangnya selama tiga hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, empat daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling mencatatkan status cuaca panas tahap dua dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Menurutnya, sebanyak 12 kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula berada pada tahap satu selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Cuaca panas dijangka berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Ini membabitkan kawasan Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta daerah sebelah utara di Pulau Pinang.
“Amaran sama dikeluarkan bagi Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak termasuk seluruh Perlis” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
METMalaysia berkata, penduduk di semua kawasan terbabit perlu berjaga-jaga dan meminum air secukupnya selain mengurangkan aktiviti luar kerana keadaan kering.
Tambahnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi METMalaysia. – UTUSAN











