PETALING JAYA: Bekalan ikan negara kekal mencukupi dan tidak terjejas meskipun Malaysia ketika ini berdepan cuaca panas berpanjangan susulan fenomena El Nino.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, berdasarkan statistik bagi Januari dan Februari, jumlah keseluruhan pendaratan ikan mencecah 269,332 tan metrik, sekali gus menunjukkan tahap bekalan yang stabil serta mampu memenuhi permintaan domestik.
Menurutnya, pencapaian tersebut meliputi sumbangan daripada subsektor perikanan tangkapan, akuakultur dan perikanan darat yang terus beroperasi secara konsisten.

“Sehingga Februari 2026, sektor perikanan telah mencapai 13.93 peratus daripada sasaran keseluruhan pengeluaran tahunan.
“Prestasi ini membuktikan keupayaan sektor perikanan negara dalam mengekalkan bekalan makanan laut yang mencukupi dan stabil walaupun berdepan cabaran fenomena El Nino yang boleh mempengaruhi corak cuaca, hasil tangkapan serta rantaian bekalan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan, cuaca panas yang sedang melanda negara dijangka berterusan sehingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun susulan keadaan atmosfera yang lebih kering dan taburan hujan rendah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya dicirikan oleh pengurangan hujan serta keadaan cuaca lebih panas dan kering, terutama di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran model cuaca tempatan dan antarabangsa, negara dijangka mengalami pola cuaca lebih kering dengan taburan hujan lebih rendah daripada kebiasaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Dalam pada itu, Adnan berkata, setakat ini, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca panas kerana berpotensi memberi kesan terhadap aktiviti tangkapan dan produktiviti akuakultur, khususnya daripada segi suhu air serta kesihatan hidupan marin.
Bagaimanapun, katanya, impak tersebut masih berada pada tahap terkawal hasil pelaksanaan langkah adaptasi dan pengurusan sumber secara mampan oleh jabatan serta kerjasama erat bersama pemain industri.
“Langkah berterusan ini penting bagi memastikan kestabilan bekalan dan keterjaminan makanan negara sentiasa terpelihara, tanpa terjejas oleh keadaan cuaca semasa,” katanya. – UTUSAN










