Stok makanan ternakan dijangka merosot sebulan lagi

Stok makanan ternakan dijangka merosot sebulan lagi

MOHAMAD Sabu menandatangani plak sebagai simbolik Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara RMK-13 Bersama Pemain Industri di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan makanan ternakan bagi keperluan negara akan berkurangan dalam tempoh sebulan lagi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, buat masa ini, bekalan makanan ternakan mencukupi kerana ia diimport sebelum krisis Timur Tengah tercetus.

“Bekalan makanan ternakan itu dijangka berkurangan dalam tempoh kira-kira sebulan dan perlu ditambah melalui import baharu.

“Buat masa ini, sumber makanan ternakan banyak diimport dari negara seperti Argentina dan Brazil namun, apa yang merisaukan ialah peningkatan kos pengangkutan,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara RMK-13 Bersama Pemain Industri, di sini hari ini.

Pada masa sama, Isham berkata, kementerian kini sedang melaksanakan projek percubaan penanaman jagung bijian bagi keperluan ruminan negara membabitkan tanaman seluas 10,000 hektar.

Menurutnya, buat masa ini, tanaman makanan ternakan itu diusahakan di Cuping, Perlis dan Kota Belud, Sabah dan telah menunjukkan hasil yang baik.

“Majlis pelancaran penanaman jagung bijian itu akan dibuat secara besar-besaran di Chuping pada Jun ini.

“Kami jangkakan Kadar Sara Diri (SSR) jagung bijian itu dijangka dapat menampung keperluan 30 peratus ternakan negara empat tahun lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN