PETALING JAYA: Slot acara larian terulung negara, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 yang akan berlangsung pada 3 dan 5 Oktober depan telah habis terjual hanya dalam tempoh lima jam sahaja.
Penganjur KLSCM 2026, Dirigo Events dalam kenyataan memaklumkan, pendaftaran untuk rakyat Malaysia berjaya mencapai kapasiti maksimum.
“Pelari yang tidak berjaya mendapat slot dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti promosi akan datang daripada rakan rasmi KLSCM yang menawarkan penyertaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Projek KLSCM dan Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans berterima kasih kepada peminat acara larian atas sambutan serta sokongan luar biasa mereka untuk sukan itu dan KLSCM.
Bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Biemans turut mengumumkan penduduk bukan warganegara Malaysia masih boleh mendaftar untuk KLSCM 2026 hingga 31 Julai ini atau hingga 4,000 slot antarabangsa habis diisi.
KLSCM edisi ke-18 itu menampilkan empat kategori individu iaitu maraton, separuh maraton, 10 kilometer (km) dan 5 km selain 2km dan 800 meter untuk kanak-kanak.-UTUSAN











