Skim Pengembara akan dibentang kepada Kabinet, lindungi pekerja ulang alik Singapura

Skim Pengembara akan dibentang kepada Kabinet, lindungi pekerja ulang alik Singapura

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kini berada pada peringkat akhir untuk membentangkan cadangan memperkenalkan Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim baharu itu bakal menyediakan perlindungan sosial kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.

Katanya, Kesuma turut berada pada peringkat akhir kajian bagi memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan ibu bersalin sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

“Genap 100 hari menerajui kementerian, fokus utama Kesuma adalah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat khususnya dalam aspek perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan kebajikan pekerja.

“Dalam tempoh singkat ini, kita memberi keutamaan kepada inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berjangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata, bagi sektor pelancongan, Kesuma turut melaksanakan inisiatif proaktif dengan menawarkan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (SITI) secara percuma kepada 10,000 pekerja industri pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam usaha memperkukuh kebajikan bekas anggota keselamatan, Perkeso turut memeterai memorandum persefahaman bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi membangunkan ekosistem bersepadu untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Melalui kerjasama itu, seramai 5,000 veteran disasarkan menerima penempatan pekerjaan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira menjelang 2030.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kesuma turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui pelaksanaan program Upskilling dan Reskilling di bawah Jabatan Tenaga Manusia menerusi ADTEC yang dijangka memberi manfaat kepada 90,000 individu.

“Segala inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh 100 hari ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan pekerja terus menjadi agenda utama negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN