Setiap hari ziarah pusara ubat kerinduan

Setiap hari ziarah pusara ubat kerinduan

AZIAH Yusof bersama Nik Nor Zabir Nik Chik menunjukkan gambar kenangan Nik Amni Nadiah di rumah mereka di Kampung Paya Rawa, Besut, Terengganu. –UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kedatangan Ramadan kali ini dirasakan sepi buat keluarga Allahyarham Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, Jun tahun lalu.

Nik Amni Nadiah atau mesra dengan panggilan Adik adalah anak bongsu daripada tiga beradik buat pasangan Aziah Yusof dan Nik Nor Zabir Nik Chik.

Aziah, 63, berkata, sejak me­lanjutkan pengajian ke UPSI, anaknya itu sentiasa pulang ke rumah mereka di Kampung Paya Rawa di sini, menyambut Ramadan bersama dia dan suaminya.

Katanya, dua lagi anaknya telah berkeluarga dan berhijrah ke luar negeri.

“Tahun ini tiada sebarang persediaan dan hanya menyambut Ramadan seadanya. Sebelum ini walaupun kami tiga beranak tetapi Allahyarham paling seronok setiap kali berpuasa.

“Kini rutin Ramadan kami suami isteri berubah sepenuh­nya, selepas solat subuh di masjid kami terus ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja untuk menziarahi pusara Adik,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Paya Rawa.

Bercerita tentang menu ke­gemaran Allahyarham, Aziah ber­kata, Nik Amni Nadiah menggemari asam pedas dan sering memintanya memasak juadah itu untuk berbuka puasa

Katanya, meskipun kini masih memasak hidangan itu tetapi suasananya tidak lagi sama dan ‘tiada’ lagi peminat setia air tangannya.

Sementara itu, Nik Nor Zabir berkata, bagi mengubat kerinduan, dia melakukan aktiviti yang sering dilakukan ketika bersama anaknya itu semasa Ramadan termasuk mengunjungi bazar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×