Sesak lebih 20km, laluan ke Kelantan ‘lumpuh’ menjelang Aidilfitri

Sesak lebih 20km, laluan ke Kelantan ‘lumpuh’ menjelang Aidilfitri

KEADAAN trafik perlahan menghala ke pusat bandar Gua Musang, Kelantan hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Aliran trafik di pintu masuk sempadan Pahang-Kelantan di sini, hampir ‘lumpuh’ apabila kenderaan bertali arus membanjiri laluan utama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.

Kesesakan teruk sejauh lebih 20 kilometer dilaporkan berlaku di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, khususnya di kawasan sempadan Merapoh, Pahang hingga ke Kampung Mentara, sekali gus menguji kesabaran ribuan perantau yang pulang ke kampung halaman pada saat akhir.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, aliran trafik bergerak perlahan susulan peningkatan mendadak jumlah kenderaan sejak pagi ini.

“Pertambahan kenderaan pada saat akhir menyebabkan laluan utama menjadi sesak luar biasa. Perantau masih lagi bertali arus memasuki bandar Gua Musang dan keadaan ini dijangka berlarutan sehingga malam ini.

“Polis terus melaksanakan pemantauan rapi serta penyuraian trafik secara berkala bagi memastikan aliran kenderaan lebih terkawal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang perantau, Siti Noraini Ghazali, 37, berkata, dia menjangkakan perjalanan pulang ke kampung di Kuala Krai lebih lancar kerana memilih pulang pada saat akhir, namun jangkaan itu meleset.

“Setiap tahun memang akan sesak, tetapi kali ini lebih mencabar. Cuaca panas dan perjalanan yang panjang membuatkan kami cepat letih. Ada juga yang terpaksa berhenti tepi jalan sama ada untuk berehat atau kerana kenderaan bermasalah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN