PETALING JAYA: Tindakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran dilihat sebagai usaha mengalih perhatian dunia daripada krisis di Tebing Barat dan Gaza termasuk penderitaan penduduk di sempadan Rafah.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, serangan tersebut bukan bermula daripada Iran, sebaliknya Israel terlebih dahulu memulakan tindakan itu walaupun mengetahui Iran tidak memiliki kuasa nuklear.
“Iran merupakan salah satu ancaman kepada Israel di rantau Asia Barat dalam usaha memperluaskan wilayah jajahan mereka sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran dengan membedil lokasi utama di ibu negara tersebut susulan keengganan untuk tunduk dengan tuntutan AS mengenai program nuklear dan peluru berpandu.
Serangan tersebut juga menyebabkan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Muhd. Haikal berkata, Israel menutup sepenuhnya pintu sempadan Rafah yang menjadi laluan bantuan sebaik sahaja Iran diserang
“Tiada bantuan kontena dibenarkan masuk ke Gaza dan penduduk yang ingin keluar juga tidak dibenarkan,” katanya.
Namun begitu katanya, misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijadual pada 12 April ini tetap diteruskan.
“Ia tetap menjadi keutamaan bagi memastikan bantuan sampai walaupun wujud krisis antara Iran dan Israel,” katanya.-UTUSAN











