DUNGUN: Nahas di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau di sini, semalam, kini meragut nyawa tiga beranak apabila seorang lagi mangsa meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan, 4, yang merupakan anak bongsu Nurul Hafizah Shaary, 39, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Felda Jerangau.
“Nurul Hafizah dan anak keduanya, Muhammad Redzuan Arash, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera parah di bahagian kepala.
“Anak sulung mangsa, iaitu Nur Raesha Amanda yang berusia 14 tahun cedera di bahagian kepala manakala anak keempat mangsa, Nur Rakhis Aral pula cedera di tangan kanan,” katanya.
Maizura berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 6.10 petang itu berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Nurul Hafizah yang merupakan pekerja syarikat penapis air dipercayaihilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar paip air sebelum merempuh tiang elektrik di sebelah kanan jalan.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan manakala mayat ketika-tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN










