Semangat Aidilftri dalam Raya Satu Hati - Utusan Malaysia

Semangat Aidilftri dalam Raya Satu Hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas jenama fesyen, Amar Amran meneruskan inisiatif menerbitkan lagu Hari Raya Aidilfitri menerusi lagu Raya Satu Hati sempena meraikan 51 tahun legasi dalam industri busana tradisi Melayu.

Lagu istimewa ini mendapat sentuhan gitaris kumpulan Khalifah, Ahmad Sairi Haslan Muhammad Redzwan atau Apak Harry dengan liriknya ditulis Ajim Maze dan Amar sendiri.

“Lagu ini adalah karya istimewa yang menggabungkan semangat Aidilfitri, nilai kekeluargaan dan identiti gaya busana Melayu dalam satu naskhah muzik yang segar dan dekat dengan masyarakat.

“Karya ini menampilkan penceritaan raya penuh emosi, gema takbir, kepulangan ke pangkuan keluarga, momen bermaafan dan keceriaan bergaya sedondon pada pagi Syawal,” jelasnya.

Tambahnya, lagu tersebut membawa mesej perpaduan dan penyatuan jiwa selari dengan tema kempen jenama Amar Amran tahun ini yang menekankan konsep kebersamaan merentasi generasi.

“Karya ini mengangkat frasa utama iaitu tidak kira rupa dan warna kerana di Hari Raya, kita semua bersatu hati meraikan hari tersebut,” katanya menjelaskan maksud di sebalik bait-bait lagu tersebut.

Menurut Amar, penghasilan lagu ini bukan sekadar pelengkap kempen tetapi menjadi medium naratif yang menghidupkan keseluruhan pengalaman Raya Satu Hati.

“Raya bukan hanya tentang pakaian, tetapi tentang rasa kembali, memaafkan dan menyatu. Lagu ini merangkum perjalanan emosi Aidilfitri dan diterjemahkan seiring dengan gaya dan identiti busana Amar Amran.

“Lagu ini akan menjadi runut bunyi rasmi untuk kempen Raya Satu Hati 2026 meliputi filem pendek raya, pertunjukan fesyen, kandungan digital, pembukaan butik serta jelajah promosi seluruh negara,” ujarnya.

Apak Harry dalam pada itu memaklumkan projek tersebut merupakan pengalaman kedua dia berkolaborasi dengan Amar.

“Saya kenal Amar menerusi Datuk Jamal Abdillah yang mencadangkan nama saya sebagai pencipta lagu raya pertama Amar, Raya Sehati Sedondon.

“Saya pada kali ini bukan setakat mencipta lagu kedua untuk Amar tetapi turut saya berduet dengan dia.

“Disebabkan kami pernah bekerjasama, proses rakaman tidak mengambil masa lama. Saya ambil masa kurang satu minggu untuk menyiapkan lagu ini.

“Saya juga sudah dapat menangkap tahap tinggi rendah suara Amar semasa menghasilkan lagu pertama, jenis suara Amar ini hampir sama suara Jamal,” jelasnya.

Sebagai komposer, Apak berkata beliau mempunyai prinsip dalam pembikinan lagu.

“Saya lebih melihat pada bakat nyanyian, kalau tidak boleh menyanyi macam mana nak buat lagu. Jadi saya titik beratkan suara.

“Rakaman lagu Raya Satu Hati yang diadakan di Studio MVM Music mengambil masa kurang satu hari untuk disiapkan, sekitar dua jam sahaja,” kongsinya lagi.

Lagu bergenre pop ini akan dilancarkan di semua platform digital dan saluran media sosial rasmi Amar Amran bermula 20 Februari 2026. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN