Selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama - Syafiq Dharma - Utusan Malaysia

Selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama – Syafiq Dharma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya rasa sayu bila melihat kerusi yang arwah bapa selalu duduk.”

Demikian luah pelakon, Syafiq Dharma yang masih terkesan dengan ketiadaan bapanya, Dharma Harun Al-Rashid yang meninggal dunia pada 25 November lepas.

Kata Syafiq, kehilangan tersebut menjadikan beberapa adegan filem pendek raya, Jam Misteri Atuk yang dilakonkannya terasa realistik disebabkan emosi yang diluahkan bukan sekadar lakonan.

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya. Saya bersetuju untuk terlibat dalam karya ini kerana skripnya cukup dekat dengan diri saya yang baru kehilangan bapa dan masih dalam proses untuk move on.

“Seperti mana dalam filem pendek ini, selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu.
Walhal semasa bapa masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan. Sekarang, apabila saya lihat kerusi yang arwah bapa selalu duduk, saya akan rasa sayu,” ujarnya.

Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) itu berharap filem pendek berkenaan membuka peluang bagi meneruskan legasi bapanya.

“Sebelum ini saya memang ada berlakon, cuma ini adalah lakonan pertama saya selepas pemergian arwah bapa. Jika boleh arwah bapa mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni,” tuturnya.

Bercerita tentang pengalamannya berlakon dalam Jam Misteri Atuk, kata Syafiq yang berpasangan dengan Wafariena sebagai suami isteri, biarpun proses penggambaran berjalan dalam waktu yang singkat tetapi semuanya berjalan lancar.

“Jika dibandingkan dengan pelakon lain, saya rasa diri terlalu kerdil. Tetapi mereka dapat menerima baik saya, begitu juga dengan produksi yang sangat profesional dan perkara tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja dalam karya lain selepas ini,” ujarnya.

Filem pendek yang diarahkan oleh Ali Irman Bahrudden itu mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Segalanya berubah apabila dia menemui jam tangan lama milik datuknya yang membawanya kembali ke masa lalu.

Menurut Ali Irman, pendek yang menjalani penggambaran selama dua hari di Hulu Langat, Selangor itu dengan mesej positif tentang menghargai orang tersayang dan cara berdamai dengan takdir sesuai dengan suasana sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi

“Pembikinan filem pendek ini tidak sukar kerana barisan pelakon yang berpengalaman. Apa yang boleh saya katakan Jam Misteri Atuk sebuah karya yang sangat menyentuh jiwa terutama orang yang pernah kehilangan insan tersayang. Jadi, saya harap penonton dapat memberikan sokongan,” katanya.

Selain Syafiq Dharma, karya ini turut dibintangi oleh, Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah danAidern Shafiy.

Filem pendek jam Misteri Atuk telah ditayangan secara eksklusif pada13 Mac 2026 di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall, Damansara dan pada hari yang sama, filem tersebut turut ditayangkan kepada umum menerusi salurar YouTube rasmi Avaris Studio MY dan bakal disiarkan di Awesome TV.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN