KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan merekodkan RM131.3 bilion pelaburan diluluskan bersamaan 30.8 peratus pada 2025 daripada jumlah keseluruhan, merangkumi 1,354 projek.
Pelaburan asing pula menyumbang RM100.6 bilion (76.6 peratus), manakala pelaburan domestik RM30.7 bilion (23.4 peratus).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, pelaburan itu dijangka mewujudkan 109,950 pekerjaan baharu dengan 82.3 peratus daripadanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.
“Hampir 46.3 peratus daripada jawatan yang diwujudkan melibatkan kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan, mencerminkan peralihan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Antara subsektor utama yang menyumbang kepada pelaburan pembuatan ialah elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM28.5 bilion, kimia dan produk kimia (RM24.9 bilion), peralatan pengangkutan (RM14.9 bilion), produk logam asas (RM11.1 bilion) serta mesin dan peralatan (RM11.0 bilion).
Beliau berkata demikian pada Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2026.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor perkhidmatan pula mencatat RM281.3 bilion pelaburan diluluskan bersamaan 65.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nasional, melibatkan 7,004 projek dan dijangka mewujudkan 134,926 pekerjaan baharu iaitu bahagian terbesar penciptaan pekerjaan.
“Pelaburan domestik menyumbang RM177.2 bilion (63 peratus), manakala pelaburan asing RM104.1 bilion (37 peratus), meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun.
“Subsektor maklumat dan komunikasi menerajui pertumbuhan dengan RM152.9 bilion, didorong pelaburan digital seperti kecerdasan buatan (AI), Big Data, pusat data dan pengkomputeran awan.
“Pusat data sahaja dijangka menyumbang RM14.1 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2025, selain mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui melalui pengembangan Solar Skala Besar (LSS) bagi mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
“Selain digital, pertumbuhan sektor perkhidmatan turut dipacu oleh hartanah berjumlah RM78.2 bilion, utilitib(RM13.7 bilion), perkhidmatan sokongan (RM12.6 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM10.8 bilion),” ujarnya.
Beliau berkata, beberapa kluster industri utama negara terus menarik pelaburan berkualiti.
“Pulau Pinang mengekalkan kekuatan dalam kluster E&E dengan 83 projek bernilai RM11.3 bilion, di mana 78 peratus dipacu pelabur asing.
“Kluster automotif di Tanjong Malim merekodkan enam projek bernilai RM3.6 bilion, termasuk pelaburan baharu dalam pembuatan kenderaan elektrik dan hibrid.
“Sementara itu, kluster petrokimia di Pengerang, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang menarik sembilan projek bernilai RM7.5 bilion, termasuk pengeluaran Sustainable Aviation Fuel (SAF),” jelasnya.
Bagi negeri kurang membangun seperti Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak menerima 941 projek bernilai RM66.0 bilionbiaitu 15.5 peratus daripada jumlah pelaburan nasional, dengan potensi 23,617 pekerjaan baharu.
Kedah mendahului dengan RM27.8 bilion, diikuti Sabah (RM14.6 bilion) dan Sarawak (RM14.2 bilion). – UTUSAN










