ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan memantau secara dekat situasi cuaca panas di negeri ini yang berkemungkinan besar akan menjejaskan sesi persekolahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, perkara itu bagi memastikan tiada ada murid dan pelajar di negeri ini yang terjejas kesihatan akibat cuaca panas yang berpanjangan.
“Kita ambil pendekatan bersedia lebih awal sementara menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya
“Jika ada keperluan sama ada sesi persekolahan diteruskan seperti biasa atau PdPR, kita masih menunggu keputusan daripada pihak kementerian,” katanya selepas merasmikan Program Meh Balik Kampus 2026-Mahasiswa Anak Johor di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.
Sementara itu, Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, pihaknya masih belum menerima aduan kenaikan kos tambang van sekolah susulan kenaikan kos bahan api.
“Kerajaan negeri sedang memantau jumlah van sekolah dalam Johor, kita akan lihat bagaimana cara, cadangan untuk bantu. Kita faham keadaan semasa,” katanya.
Mengulas berhubung program, beliau memberitahu lebih daripada 3,500 mahasiswa kelahiran Johor menerima manfaat program Meh Balik Kampus yang menyediakan bas ekspres percuma buat pelajar pulang ke universiti masing-masing.
Katanya, daripada jumlah itu, 510 pelajar menerima rebat RM500 bagi pembelian tiket kapal terbang menuju ke Sabah dan Sarawak, manakala 3,000 mahasiswa akan menaiki bas melibatkan kos sebanyak RM1.4 juta. – UTUSAN











