ALOR SETAR: Sesi persekolahan bersemuka melibatkan 206 sekolah di Kota Setar dan Pendang, Kedah akan dilaksanakan semula sekiranya bacaan suhu harian bawah 37 darjah Celsius.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan jika cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut,
“Pemantauan berterusan dibuat dan kita akan pantau tahap bacaan suhu dikeluarkan METMalaysia, kalau bacaan dalam tempoh tiga hari ini masih sama, PdPR akan diteruskan tetapi jika sudah turun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa.
“Pelaksanaan PdPR ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.
“Cuaca sekarang mencecah 37 darjah Celsius dan sangat panas, sebab itu JPN Kedah mengambil inisiatif buat PdPR sebab kita mahu elak pergerakan pelajar, tidak mahu mereka terdedah dengan cuaca panas terutamanya pada waktu puncak tengah hari,” katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini, semalam.
Akhbar ini melaporkan, sekolah-sekolah di Daerah Kota Setar dan Pendang melaksanakan pengoperasian secara PdPR selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa berikutan dua daerah itu mencatatkan gelombang haba Tahap 2 sejak Khamis lalu.
Abdul Rahim berkata, walaupun cuaca panas, sesi pembelajaran tetap berlangsung seperti biasa dengan JPN, sekolah dan guru telah buat persediaan kerana peringatan awal dikeluarkan sejak Rabu lalu berhubung kemungkinan penutupan sekolah akan dibuat.
“Pemantauan berterusan dibuat dan kita akan pantau tahap bacaan suhu dikeluarkan METMalaysia, kalau bacaan dalam tempoh tiga hari ini masih sama, PdPR akan diteruskan tetapi jika sudah turun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa.
“Kita mahu pastikan keselamatan dan kesihatan pelajar terjaga kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan. Jadi, kita minta waris turut sama memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, pastikan mereka tidak terdedah dengan cuaca panas dalam tempoh yang lama,” katanya.
Tambahnya, di samping PdPR, beberapa sekolah yang mempunyai pelajar tinggal di asrama menjalankan pembelajaran secara hibrid dengan hadir ke kelas seperti biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum masalah peranti dan talian internet yang dihadapi sesetengah pelajar, bagaimanapun pihak sekolah telah menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran yang disusun dari awal dapat dihabiskan.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultanah Asma, Tengku Fariza Tengku Ibrahim berkata, seramai 201 daripada 217 pelajar asrama sekolah itu menjalani PdPR di sekolah. – UTUSAN










