KUALA LUMPUR: Pelakon, Ezzanie Jasny, 26, memberitahu dia masih mengalami trauma susulan kemalangan yang dialaminya baru-baru ini.
Ezzanie memaklumkan kejadian itu meninggalkan fobia mendalam dan membuatkan dia takut memandu kereta.
“Saya trauma, masih fobia dan tidak berani memandu kereta buat masa ini. Saya akan minta pembantu memandu untuk saya.
“Kadang kita sudah cukup berhati-hati, tapi disebabkan kecuaian orang lain, kita tetap berisiko kemalangan. Apa pun, saya masih trauma,” katanya.
Ezzanie bagaimanapun bersyukur kerana keadaannya semakin stabil dan kini dia sudah mampu kembali bekerja seperti biasa.
“Bengkak di kepala yang saya alami sebenarnya belum pulih sepenuhnya. Ia tidak kelihatan kerana ditutupi rambut.
“Apa pun saya bersyukur kerana pendarahan yang saya alami bukan dalam otak, sebaliknya di luar tengkorak.
“Cuma sekarang ini saya masih mengalami vertigo yang cukup terasa ketika baring. Insya-Allah saya yakin keadaan saya akan pulih sepenuhnya nanti,” ujarnya.
Bercerita mengenai kemalangan itu, Ezzanie memaklumkan kejadian berlaku sepantas kilat tanpa amaran.
“Kemalangan itu berlaku cepat, ketika kenderaan yang saya dan ibu bapa saya naiki dipandu masuk ke perkarangan rumah, tiba-tiba muncul kereta melanggar kereta kami.
“Saya pengsan semasa kejadian, hanya sedarkan diri keesokan pagi.
“Rupanya ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh pada malam sama, jururawat dan kawan-kawan saya cuba sedarkan saya kerana khuatir saya koma jika tertidur,” kongsinya. – UTUSAN










