KUALA LUMPUR: Satu ruang khas di Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), bakal diwujudkan bagi memperingati jasa Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak kerajaan sedang meneliti mengenai perkara tersebut agar jasa Allahyarham terus dikenang sepanjang zaman.
Katanya, cadangan ruangan khas di perpustakaan ISTAC yang terletak di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan salah satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham kepada dunia pemikiran Islam.
“Ruang khas itu kelak diharap menjadi tempat rujukan dan peringatan berterusan mengenai pemikiran, karya serta sumbangan intelektual Syed Muhammad Naquib Al-Attas kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri solat jenazah Muhammad Naquib Al-Attas yang berlangsung di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini hari ini.
ISTAC diasaskan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas pads 27 Februari 1987 dan dirasmikan pada bulan Oktober tahun 1991 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan tujuan utama untuk menonjolkan konsep keilmuan di dalam Islam.
Solat jenazah tokoh ilmuwan berusia 94 tahun itu dimulakan pada pukul 11.30 pagi di dewan solat utama masjid berkenaan dengan dihadiri ahli keluarga, sahabat serta tokoh politik.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira di sini pukul satu tengah hari tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Media semalam melaporkan, tokoh ilmuwan, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 94, telah meninggal dunia pada pukul 6.47 petang semalam.
Khabar duka itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menerusi platform Instagram. – UTUSAN










