ISKANDAR PUTERI: Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul bertekad untuk memburu kemenangan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Menurut Gaul, kemenangan itu akan memberi kelebihan buat La Viola pada aksi timbal balik di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima pada 11 Mac ini.
Bagaimanapun katanya, pemain perlu memberi fokus sepanjang perlawanan selain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini.
“Dalam perlawanan pertama ini, saya tak fikir untuk memburu seri, bagi saya kemenangan adalah lebih penting setelah ia memberi kelebihan buat kami pada aksi kedua di laman sendiri nanti.
“Kami sudah merencana perancangan yang utuh untuk berdepan JDT, harapnya permain dapat terjemahkan dengan baik bagi menjayakan misi kami,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan ACLE menentang JDT.
Untuk record, Sanfrecce Hiroshima pernah mengalahkan JDT 2-1 dalam saingan peringkat Kumpulan Zon Timur ACLE, pada 10 Februari lalu dengan Akito Suzuki muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol.
Gaul bagaimanapun akui bukan mudah untuk mengulang kemenangan menentang Harimau Selatan itu susulan skuad tersebut mempunyai skuad yang berkualiti dan mampu memberi kesukaran buat pasukannya.
“Keputusan lalu juga tidak seharusnya dijadikan ukuran. JDT lawan yang sukar kerana gemar bermain ‘high pressing’ dan berjaya mendapat gol awal dalam perlawanan terdahulu. Jadi kami jangka satu pertembungan sengit malam esok.
“Bagaimanapun, kami berada di prestasi terbaik ketika ini setelah semua pemain bersiap sedia diturunkan. Harapnya pemain dapat melakukan tugas yang baik pada perlawanan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, kapten, Sho Sasaki yang kembali menyertai pasukan meluahkan rasa tidak sabar untuk berdepan JDT bagi membantu pasukan untuk memburu kemenangan.
“Untuk perlawanan esok, kami hanya perlu fokus pada pasukan sendiri dan cuba sebaik mungkin untuk menyerap tekanan apabila bermain di stadium yang berkapasiti penuh,” ujarnya.-UTUSAN











