Saling ‘unfollow’ di Instagram, Nadia Brian harap peminat doakan yang terbaik - Utusan Malaysia

Saling ‘unfollow’ di Instagram, Nadia Brian harap peminat doakan yang terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan hubungan rapatnya dengan Nedim Nazri atau Boss Ned kini berdepan masalah susulan tindakan mereka yang tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Bagaimanapun, Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi berharap orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat hubungan mereka yang disifatkan masih berada pada fasa awal perkenalan.

Menurutnya, masing-masing kini memberi tumpuan kepada kerjaya selain menjalani kehidupan harian yang sibuk.

“Biasalah, kita perempuan, kadang-kadang begitu.

“Kami masing-masing sibuk bekerja. Kami pun baru berada dalam fasa perkenalan. Jadi apa pun, saya hanya mendoakan yang baik-baik dan berharap semua turut mendoakan yang baik-baik, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

“Tiada apa yang perlu diperkatakan kerana hubungan kami juga masih baru. Saya pun sibuk bekerja dan masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

“Segalanya baik-baik sahaja. Apa pun, fokus kami sekarang kepada perkara yang penting seperti kerja dan keluarga. Sudah tentu kita mahukan yang terbaik, jadi doakan yang baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di Serai Hall, pusat beli-belah KLGCC, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nadia berharap peminat dapat memberikan ruang kepadanya untuk berkongsi perkembangan terkini, khususnya berkaitan hal peribadi termasuk soal cinta.

“Kalau perihal peribadi, sebenarnya saya agak malu untuk bercerita dan berkongsi semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

“Tambahan pula, saya pernah melalui pengalaman sebelum ini, jadi bagi saya hal berkaitan hubungan adalah sesuatu yang sangat peribadi.

“Tetapi saya faham peminat mengambil berat dan sayangkan kita, jadi saya sangat berterima kasih. Apa yang boleh saya kongsi, saya akan kongsi,” katanya.

Terdahulu, status hubungan selebriti itu menjadi tanda tanya apabila peminat menyedari Nadia dan Nedim, yang juga bekas suami kepada pelakon Nora Danish, dilihat jarang memuat naik foto bersama di media sosial sejak belakangan ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN