GEORGE TOWN : Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid sekali lagi hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana zakat yang dikaitkan dengan beliau.
Difahamkan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang membawa pemimpin itu tiba di pekarangan pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum kelibat Mohamad gagal dikesan kerana beliau dipercayai memasuki bangunan tersebut dengan menggunakan pintu belakang.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM kini sedang menyiasat kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung pembelian tanah menggunakan dana zakat selepas isu itu dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), tahun lalu.
Sehubungan itu, seramai 63 individu termasuk Mohamad telah dipanggil oleh SPRM negeri semalam bagi dirakam keterangan mereka berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah serta penyalahgunaan dana wang zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan.
Antara individu yang telah dipanggil termasuk pegawai serta kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang, pegawai serta kakitangan Lembaga Zakat MAINPP.-UTUSAN











