KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun perlu disusun supaya tidak menjejaskan kuasa prerogatif dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun had tempoh jawatan bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, sebarang pindaan mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) jelas menjamin kuasa Agong dalam melantik Perdana Menteri. Pindaan perlu menghormati kuasa prerogatif ini,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini
Beliau berkata demikian ketika membahas RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, yang memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menurut Hamzah, Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan, manakala Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara.
Katanya, sistem ini memastikan wujudnya semak dan imbang dalam pelantikan jawatan tertinggi kerajaan.
“Cadangan untuk menetapkan tempoh maksimum jawatan harus mengambil kira kuasa prerogatif Agong supaya budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri tidak terjejas,” ujarnya.
Selain itu, Hamzah berkata, isu penumpuan kuasa apabila Perdana Menteri memegang jawatan tambahan seperti Menteri Kewangan, yang memberi kuasa besar secara bersendirian.
Hamzah mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diasingkan.
“Ini penting untuk mengekalkan akauntabiliti dan integriti kerajaan serta memastikan kuasa tidak bertumpu pada satu individu,” tegasnya.
Beliau berkata, cadangan pengasingan jawatan dan had tempoh bukan bertujuan untuk menyekat individu tertentu, tetapi langkah untuk memperkukuh institusi dan sistem demokrasi Malaysia.
“Pengurusan kerajaan mesti selaras dengan prinsip keadilan, tanggungjawab, dan amanah kepada rakyat,” katanya.
Katanya, cadangan pindaan perlu disertakan dengan klausa yang jelas supaya pelantikan Perdana Menteri oleh Agong boleh tetap dilakukan dalam kerangka tempoh maksimum yang dicadangkan, tanpa menjejaskan keistimewaan prerogatif Agong yang dijamin perlembagaan.
Menurutnya, kerajaan supaya menilai semula perincian pindaan bagi memastikan reformasi jawatan Perdana Menteri berjalan selaras dengan prinsip perlembagaan.
“Kita mesti mengekalkan keseimbangan kuasa antara institusi kerajaan dan institusi raja-raja.
“Ia bertujuan memastikan Perdana Menteri berfungsi dengan bertanggungjawab, berintegriti, dan memelihara kepercayaan rakyat, selari dengan aspirasi reformasi institusi yang diperkukuh melalui pindaan RUU Perlembagaan 2026,” katanya.-UTUSAN











