KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal untuk diluluskan selepas tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
RUU tersebut hanya mendapat sokongan dari 146 ahli Parlimen, 32 ahli Parlimen tidak hadir dan 44 orang lagi berkecuali.
Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sewaktu membentangkan RUU tersebut berkata, had seumur hidup bagi jawatan perdana menteri itu mengambil kira dengan tempoh perkhidmatan sama ada secara berterusan atau merentasi penggal berasingan.
Semasa perbahasan, ahli Parlimen dari kedua-dua pihak menyokong idea had penggal, walaupun beberapa pihak membangkitkan kebimbangan tentang cara pengiraan had tersebut dan proses peralihan apabila seorang Perdana Menteri mencapai tempoh maksimum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Februari lalu berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai kepada dirinya terlebih dahulu.
Beliau turut menjelaskan usaha menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Malah katanya, cadangan tersebut juga tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat. tetapi memperkukuhkan lagi struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.-UTUSAN











