KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat untuk diperhalusi secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membawa usul itu selepas bacaan kali kedua RUU berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan meneliti dan mengemukakan pandangan mereka.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul itu dengan majoriti suara bersetuju.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan meneliti RUU itu termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mencadangkan pindaan yang difikirkan perlu.
“Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas akan menyediakan satu penyata mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU itu dalam tempoh tiga bulan.
“Jawatankuasa boleh, sekiranya perlu, melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya ketika membentangkan usul itu di Dewan Rakyat hari ini.
Bacaan kali pertama RUU dibentangkan pada 23 Februari lalu, namun bacaan kali kedua tidak diteruskan ke sesi perbahasan sebelum ini.
Azalina berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan akan disertai ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
“Jawatankuasa boleh menjemput mana-mana pihak seperti ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat dan individu lain untuk hadir dalam persidangan jawatankuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, antara anggota jawatankuasa bagi pihak kerajaan ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu), Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Bagi wakil pembangkang pula, terdiri daripada Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiande (PN-Beluran) serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Azalina berkata penggunaan istilah litigasi dalam RUU berkenaan adalah satu pilihan dasar yang disengajakan bagi memastikan kelayakan Pendakwa Raya tidak dihadkan kepada pengalaman dalam litigasi jenayah semata-mata.
“Fungsi pendakwaan negara kini merangkumi bidang luas termasuk jenayah komersial dan kewangan, penggubalan wang haram, kesalahan siber, keselamatan negara, undang-undang kawal selia serta rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sering membabitkan tafsiran Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.
“Oleh itu, pengalaman litigasi luas termasuk dalam bidang komersial, kewangan, Perlembagaan dan rayuan adalah sama penting dengan kepakaran prosedur jenayah,” katanya.
Katanya, syarat minimum 10 tahun pengalaman litigasi bagi seorang Pendakwa Raya bertujuan memastikan calon mempunyai keluasan kompetensi dan kematangan profesional untuk memimpin institusi pendakwaan negara dalam landskap perundangan yang semakin kompleks.
“Ini sejajar standard United Kingdom (UK) dan Kanada serta lebih tinggi daripada ambang minimum di Australia. Larangan terhadap Ahli Parlimen memegang jawatan Pendakwa Raya jelas termaktub dalam Perkara 145(a)(3) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pemisahan antara legislatif dan institusi pendakwaan,” katanya.-UTUSAN










