GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang tidak melihat inisiatif Rumah Bangsa yang digerakkan UMNO sebagai perkara yang perlu diberi tumpuan utama.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu juga dilihat tidak akan mampu untuk memberi ‘ancaman’ secara langsung terhadap parti-parti lain yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, buat masa ini fokus atau keutamaan akan diberi kepada usaha untuk memperkukuh sokongan rakyat serta gerak kerja parti.
“Saya rasa lebih baik kita tumpu perhatian kepada kerja-kerja kitalah. Apa yang berlaku di luar itu adalah di luar kawalan kita.
“Kita jaga ‘rumah kita’ sendiri dahulu. Sokongan kita, kerja kita,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wanita ke-8 Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC), hari ini.
Kon Yeow yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pusat berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada konsep Rumah Bangsa yang digerakkan oleh UMNO boleh menjadi ancaman kepada PH atau DAP menjelang pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pelawaan di bawah inisiatif Rumah Bangsa itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, PH secara umumya perlu mula menggerakkan usaha secara lebih aktif bagi memastikan kekuatan parti terus kekal menjelang pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi.
“Kita perlu mulalah (gerak kerja). Bila keadaan semakin hangat dengan pelbagai perkembangan seperti Rumah Bangsa dan sebagainya, maka, kita juga perlu bekerja lebih kuat,” katanya. – UTUSAN











