Ruang udara Asia Barat ditutup, syarikat penerbangan wajib sedia bantuan, pilihan perjalanan

Ruang udara Asia Barat ditutup, syarikat penerbangan wajib sedia bantuan, pilihan perjalanan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat susulan perkembangan keselamatan semasa dijangka menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa,

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau terjejas berkemungkinan mengalami kelewatan, perubahan jadual, lencongan laluan atau pembatalan penerbangan.

Katanya, ini berikutan sekatan ruang udara yang sentiasa berubah serta pertimbangan operasi.

“Langkah berkenaan diambil demi kepentingan keselamatan dan selaras dengan keperluan penerbangan antarabangsa.

“CAAM memantau rapat perkembangan situasi dan terus berhubung dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang sentiasa dilindungi,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, CAAM menggesa semua syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari Malaysia diingatkan mengenai tanggungjawab masing-masing untuk memaklumkan penumpang dengan segera sekiranya berlaku perubahan waktu berlepas atau ketibaan.

Katanya, ini termasuk kelewatan, penjadualan semula, lencongan atau pembatalan penerbangan.

Selain itu, syarikat penerbangan turut diwajibkan menyediakan penjagaan, bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian kepada penumpang terjejas mengikut peruntukan di bawah Malaysian Aviation Consumer Protection Code (MACPC).

“Mereka juga perlu memastikan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan bagi meminimumkan kesulitan kepada penumpang, selain mematuhi sepenuhnya keperluan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penumpang yang merancang perjalanan ke, dari atau transit melalui rantau terjejas disarankan supaya menyemak status penerbangan secara berkala terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang.

Katanya, penumpang juga digesa memastikan maklumat perhubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini bagi memudahkan penerimaan notifikasi terkini.

“Sekiranya berlaku gangguan, mereka perlu menghubungi syarikat penerbangan secara langsung untuk mendapatkan pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut.

“Bagi penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi, mereka disaran terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan terlibat,” katanya.

Jika isu berkenaan masih tidak selesai, katanya, aduan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi pengguna CAAM untuk tindakan lanjut.

CAAM menegaskan akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna sentiasa terpelihara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN