PETALING JAYA: Ringgit memulakan dagangan minggu ini dengan nada positif apabila dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, didorong oleh kelemahan sederhana dolar AS tersebut.
Bagaimanapun, pengukuhan mata wang tempatan dijangka terbatas berikutan ketidaktentuan geopolitik yang masih meruncing di Asia Barat serta tekanan daripada harga minyak mentah yang kekal tinggi.
Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9300/9455 berbanding dolar AS, berbanding paras penutup 3.9365/9410 pada Jumaat lalu.
Pelabur kini menumpukan perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 hingga 18 Mac ini untuk mendapatkan unjuran ekonomi terkini daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Ringgit dijangka bergerak dalam julat kecil antara RM3.92 hingga RM3.95 sepanjang hari ini.
Sementara itu, unit tempatan turut mempamerkan prestasi kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama apabila mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4630/4729 daripada 2.4683/4715 pada penutup Jumaat.
Ringgit turut mencatatkan peningkatan berbanding pound Britain kepada 5.2057/2262 daripada 5.2214/2273, selain mengukuh berbanding euro kepada 4.4940/5117 daripada 4.5093/45144 sebelumnya.
Trend pengukuhan itu turut berterusan berbanding mata wang ASEAN, menyaksikan ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0641/0767 daripada 3.0730/0767 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1136/1696 daripada 12.1862/2062 pada akhir minggu lalu. –UTUSAN










