PETALING JAYA: Kerajaan digesa menghentikan amalan mengumumkan cuti umum secara mengejut kerana disifatkan sebagai tabiat ekonomi tidak sihat yang memberi tekanan kewangan kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, trend pengumuman cuti secara mendadak menyukarkan perniagaan membuat perancangan selain meningkatkan kos operasi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, pengilang terpaksa menanggung penalti dan membayar gaji sehingga tiga kali ganda bagi memenuhi kontrak sedia ada apabila operasi terganggu akibat cuti yang diumumkan secara mengejut.
“Perniagaan bergantung kepada keupayaan untuk membuat perancangan. Apabila cuti diumumkan secara mengejut, operasi menjadi terganggu dan kos tambahan perlu ditanggung.
“Sektor perkhidmatan, runcit serta makanan dan minuman (F&B) turut terdedah kepada risiko termasuk kerugian akibat stok mudah rosak atau jadual penghantaran yang terganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, William memaklumkan kajian oleh Centre for Future Labour Market Studies (EU-ERA) mencadangkan peraturan ‘Optimal 10’ bagi cuti umum, iaitu jumlah cuti yang dianggap paling sesuai untuk mengekalkan tahap produktiviti ekonomi.
Katanya, kajian tersebut mendapati produktiviti ekonomi berada pada tahap optimum sekitar 10 cuti umum yang diwartakan setiap tahun, manakala jumlah yang melebihi angka itu boleh menyebabkan pulangan semakin berkurangan akibat gangguan operasi dan peningkatan kos tenaga kerja.
“Malaysia sudah pun mempunyai antara jumlah cuti umum tertinggi di rantau ini. Dengan menambah cuti yang tidak dijadualkan, kita sebenarnya menolak ekonomi lebih jauh ke arah pulangan yang semakin berkurangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan meneliti serta meminda Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi mengehadkan kuasa menteri mengisytiharkan cuti ad-hoc, hanya kepada keadaan kecemasan negara yang sebenar atau acara besar seperti pertabalan Yang di-Pertuan Agong baharu. – UTUSAN










