Rakyat Sarawak tertinggi hisap rokok seludup

Rakyat Sarawak tertinggi hisap rokok seludup

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dianggarkan lapan daripada setiap 10 batang rokok yang dihisap di Sarawak adalah rokok seludup, meletakkan negeri itu pada tahap tertinggi penggunaan rokok tidak bercukai di Malaysia.

Presiden dan Pengasas Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Anak Janting berkata, dapatan tersebut berdasarkan kajian rokok seludup oleh NielsenIQ yang menunjukkan rokok seludup merangkumi kira-kira 78.8 peratus daripada jumlah penggunaan rokok di Sarawak.

Katanya, angka itu juga lebih tinggi berbanding 77.3 peratus di Sabah dan 54.4 peratus di peringkat nasional, menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan komuniti serta pendedahan golongan belia kepada produk berbahaya itu.

Katanya, isu rokok seludup tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai masalah penguatkuasaan, sebaliknya satu cabaran sistemik yang melibatkan pengguna serta struktur pasaran.

“Faktor ekonomi turut memainkan peranan apabila purata pendapatan isi rumah di Sarawak sekitar RM5,504, manakala di kawasan luar bandar jumlahnya jauh lebih rendah.

“Apabila rokok seludup dijual serendah RM3 hingga RM8 sekotak, tidak menghairankan ramai perokok dewasa memilih pilihan yang lebih murah ini.

“Disebabkan tekanan kos, pengguna sering tidak mempunyai kemewahan untuk mempertimbangkan aspek keselamatan dan akhirnya terpaksa mengabaikan hakikat bahawa rokok seludup tidak melalui ujian makmal atau pengesahan keselamatan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perkembangan pasaran haram bukan sahaja menimbulkan risiko kepada keselamatan pengguna malah meningkatkan pendedahan dalam kalangan belia serta berpotensi menyumbang kepada peningkatan aktiviti jenayah.

Bagaimanapun, penguatkuasaan dijalankan di sekitar negeri itu konsisten malah turut merekodkan beberapa kejayaan terhadap kegiatan penyeludupan rokok.

Di Sibu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 8.33 juta batang rokok tidak bercukai serta 190 liter minuman keras dalam satu serbuan dengan nilai keseluruhan termasuk duti dianggarkan melebihi RM6.3 juta.

“Sementara itu, operasi berasingan di Sarikei menemukan 6.77 juta batang rokok seludup dan 90,000 liter minuman keras tidak bercukai, melibatkan lebih RM6 juta duti dan cukai.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menahan sebuah kapal di perairan Lawas yang dipercayai membawa ratusan karton rokok putih serta minuman keras tidak bercukai,” katanya.

Joseph berkata, kes-kes berkenaan menunjukkan rangkaian bekalan rokok seludup beroperasi merentasi laluan darat, pelabuhan dan maritim.

“Walaupun usaha penguatkuasaan oleh kastam, polis serta agensi maritim terus dipertingkatkan, penguasaan produk seludup di pasaran menunjukkan saluran pengedaran tersebut masih berdaya tahan,” katanya.

Sehubungan itu, TRADA menyeru pendekatan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu tersebut, termasuk mengurangkan daya tarikan produk seludup serta menangani faktor asas yang mempengaruhi pilihan pengguna.

“Pasaran yang sihat adalah pasaran di mana produk adalah sah, dikawal selia dan ditawarkan pada harga yang adil. Mengurangkan kadar rokok seludup penting bagi membina semula kepercayaan, melindungi komuniti serta memastikan persaingan yang adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN