PETALING JAYA: Langkah penyelarasan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) dan kawalan diesel dilihat bersifat pentadbiran semata-mata tanpa menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga susulan ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat gagal memberikan keyakinan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera untuk menghadapi kemungkinan kegawatan global.
Katanya, Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi.
“Langkah seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel dilihat bersifat pentadbiran semata-mata, tanpa menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga.
“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar.
“Dalam krisis, rakyat memerlukan kepastian, garis masa dan tindakan konkrit bukan sekadar kemungkinan. Kerajaan perlu lebih telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi negara dan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Kelewatan hanya akan meningkatkan ketidakpastian pasaran dan menekan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, rakyat kini memerlukan hala tuju ekonomi yang jelas iaitu strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan.
Menurutnya, usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran turut menimbulkan persoalan mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.
“Untuk lebih telus, bolehkah kerajaan menjelaskan berapakah hasil yang diperolehi oleh Petronas dengan kenaikan harga minyak dunia pada masa ini dan berapa banyak yang boleh dikembalikan kepada rakyat dengan cara mengawal kenaikan harga minyak supaya tidak keterlaluan?
“Kenyataan kerajaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas dengan kenaikan yang keterlaluan ini adalah amat mengelirukan kerana ia pastinya menyebabkan kenaikan kos dalam rantaian bekalan dan peningkatan harga barangan keperluan harian rakyat secara mendadak,” soalnya.
Hakikatnya, katanya, semua rakyat terjejas dengan kenaikan harga minyak.
Malah, jelas beliau, pendekatan kerajaan yang masih bersifat ‘sedang difikirkan’ amat membimbangkan.
“Kerajaan sepatutnya segera mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berstatus krisis yang bersidang secara harian, melibatkan sektor awam dan swasta bagi memantau perkembangan global dan menyusun tindak balas yang pantas serta bersepadu seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997 hingga 98, 2008 dan pandemik Covid-19.
“Pakej rangsangan perlu difikir dan dilaksanakan untuk melindungi sektor sektor kritikal dan pemain industri terutamanya peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi dapat diminimakan.
“Dalam saat genting ini, kepemimpinan negara mesti tegas dan jelas. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ini,” katanya. – UTUSAN










