Puntung rokok punca kebakaran terbuka meningkat ketika kemarau-MB Kelantan

Puntung rokok punca kebakaran terbuka meningkat ketika kemarau-MB Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (tengah) menyantuni dua tokoh agama negeri ini semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan membuang puntung rokok tanpa dipadam sepenuhnya dikenal pasti antara punca utama peningkatan kes kebakaran terbuka di negeri ini susulan musim kemarau yang sedang melanda.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kebanyakan kebakaran bermula daripada api kecil akibat kecuaian tersebut sebelum merebak dengan pantas susulan keadaan cuaca yang kering.

“Kadang-kadang ada yang buang puntung rokok secara tak sengaja, tetapi bila dibuang, api bermula daripada kecil dan akhirnya merebak. Kebakaran seperti ini memang banyak berlaku sekarang.

“Keadaan semak samun serta rumput kering ketika musim kemarau menjadikan kawasan terbuka mudah terbakar walaupun hanya dicetuskan oleh percikan api kecil,” katanya kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu, menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan memastikan puntung rokok dipadam sepenuhnya sebelum dibuang, selain mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Katanya, orang ramai juga digesa mengutamakan keselamatan diri dengan mengehadkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganjuran solat sunat Istisqa’ dalam masa terdekat.

Katanya, ia sebagai ikhtiar memohon hujan berikutan paras air sungai dan telaga yang semakin menyusut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN