Puluhan juta masuk akaun Bersatu, bank lapor BNM - Utusan Malaysia

Puluhan juta masuk akaun Bersatu, bank lapor BNM

Muhyiddin Yassin hadir pada hari kedua perbicaraan kes terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah bank tempatan telah membuat laporan transaksi yang mencurigakan (STR) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan akaun bank parti Bersatu yang berakhir dengan nombor 9940 ekoran kemasukan `berpuluh-puluh juta’ wang.

Berdasarkan pernyataan saksi Pengurus Kewangan CIMB cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee, 58, terdapat 28 transaksi membabitkan RM19.3 juta yang berlaku antara 24 Ogos 2021 dan 11 November 2022.

Daripada jumlah tersebut, RM4 juta datang daripada individu bernama Azman Yusoff dan RM1 juta daripada syarikat Mamfor Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Hui Nee, menjadi amalan bank berkenaan untuk menghantar STR kepada Bank Negara Malaysia bagi mana-mana transaksi melibatkan jumlah yang besar.

Beliau berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat pada perbicaraan kes Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,79, yang didakwa atas empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.

Mahadi: Ada tak CIMB keluarkan STR bagi transaksi-transaksi ini?
Hui Nee: STR adalah maklumat sulit. Sebagai saksi saya tidak boleh kongsi (maklumat) sama ada STR telah dihantar atau tidak.

Mahadi: Biasanya bila STR akan dikeluarkan?
Hui Nee: (Dikeluarkan) untuk transaksi yang membabitkan jumlah yang besar.

Mahadi: Dalam kes ini ada STR dikeluarkan?
Hui Nee: Ada.

Mahadi: Apa maklum balas daripada bank Negara?
Hui Nee: Tidak tahu. Tugas kami hanya untuk laporkan STR sahaja.

Tambahnya, pihaknya membuat STR kepada Bank Negara disebabkan kekerapan dan jumlah wang yang besar yang tidak konsisten dengan profil akaun.

Terdahulu, saksi itu memberitahu bahawa akaun CIMB Bersatu adalah jenis ‘Current Account-i’ dan permohonan pembukaan akaun itu dibuat oleh didaftarkan sebagai ‘Investor’ dan jenis perniagaan yang didaftarkan adalah ‘Political Party’.

Pemohon bagi pembukaan akaun ini ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad; Muhyiddin; Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Kamarulzaman Habibur Rahman; Anina Saadudin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, pada 1 Disember 2020, pemegang akaun telah bertukar nama kepada Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi berkenaan mengesahkan bahawa beliau tidak pernah ditanya mengenai STR oleh pasukan penyiasat kes berkenaan.

Saksi kedua pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pada prosiding hari ini tiada sebarang dokumen STR dikemukakan ke mahkamah.

Hui Nee kemudian bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa beliau tidak boleh merumuskan kesemua transaksi itu adalah tidak sah kerana tidak pernah ditunjukkan dengan laporan STR oleh Bank Negara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini