Prestasi Top Glove dijangka mendatar pada suku kedua 2026 - Utusan Malaysia

Prestasi Top Glove dijangka mendatar pada suku kedua 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan Top Glove Corp Bhd bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2026 dijangka kekal mendatar berikutan kesan pengukuhan nilai ringgit dan harga jualan sarung tangan yang lebih rendah.

Phillip Research dalam nota penyelidikan berkata, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu bakal mencatatkan keuntungan suku tahunan sekitar RM35 juta, tidak jauh berbeza dengan prestasi suku sebelumnya.

Firma penyelidikan berkata, walaupun terdapat peningkatan dari segi permintaan dan kadar penggunaan loji, faktor tersebut dilihat akan diimbangi oleh penurunan harga jualan purata (ASP) serta pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS.

“Jumlah jualan dijangka meningkat kira-kira tiga peratus kepada 11.6 bilion keping bagi setiap suku tahun, disokong oleh penghantaran yang lebih kukuh ke Eropah susulan kejayaan memenangi tender baru-baru ini.

“Kadar penggunaan loji juga dijangka meningkat kepada 75 peratus berbanding 73 peratus sebelum ini, manakala tempoh masa pesanan (lead time) turut bertambah kepada 45 hingga 60 hari, menandakan momentum pesanan yang lebih stabil,” katanya.

Menjelang akhir tahun kewangan 2026, Top Glove merancang untuk mengaktifkan semula empat buah kilang bagi meningkatkan kapasiti operasi tahunan daripada 65 bilion kepada 70 bilion sarung tangan. 

Walau bagaimanapun, langkah itu bergantung kepada kemampanan pesanan yang diterima.

Dalam pada itu, syarikat berkemungkinan akan menaikkan harga jualan secara berperingkat memandangkan kos latex nitril yang semakin meningkat. 

Buat masa ini, harga sarung tangan nitril bagi setiap 1,000 keping adalah sekitar AS$17 hingga AS$18 di pasaran AS, manakala pasaran Eropah pada harga AS$15 hingga AS$16.

Meskipun berdepan persaingan sengit daripada pengeluar China yang meningkatkan kapasiti pengeluaran termasuk di Indonesia, pengurusan Top Glove percaya impak tersebut masih terkawal berdasarkan kelebihan kos dan skala operasi syarikat.

Susulan perkembangan itu, Phillip Research mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham Top Glove, namun menurunkan harga sasaran 12 bulan kepada 54 sen daripada 60 sen sebelum ini.

“Penilaian yang lebih rendah ini mencerminkan cabaran struktur yang berterusan serta isu lebihan kapasiti global yang dijangka terus memberi kesan kepada jumlah jualan dan margin keuntungan syarikat,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN