SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di sini, malam kelmarin dipercayai dibunuh anak lelaki mereka.
Selepas lebih 48 jam meninggal dunia, mayat Zikri Abdul Rahman, 65, yang bekerja sebagai pekebun dan isterinya, Suraya Man, 53, seorang tukang cuci, ditemukan orang kampung dengan badan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum digulung dengan karpet.
Mayat anak kandung Suraya berusia 29 tahun yang disyaki pelaku ditemukan di tingkat atas rumah dengan kesan kelar pada leher, dipercayai baharu membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penduduk terhidu bau busuk dari rumah berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam, semalam.
“Sepasukan polis yang tiba di lokasi memecahkan pintu rumah yang berkunci sebelum menemukan mayat pasangan suami isteri di dapur.
“Terdapat kesan darah di ruang tamu yang dipercayai menjadi lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Merbok semalam.

Hanyan berkata, terdapat cubaan untuk melupuskan bukti apabila pelaku dipercayai membersihkan lokasi kejadian.
Katanya, beberapa senjata tajam termasuk gergaji ditemukan berhampiran lokasi, namun siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) bagi mengenal pasti motif kejadian.
Sementara itu, suspek dipercayai mempunyai sejarah masalah mental sejak 2018 dan pernah melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Pulau Pinang sebelum berhenti.
“Dia dikenal sebagai seorang yang pintar dan tidak pernah menimbulkan sebarang gangguan kepada masyarakat setempat.
“Rumah tersebut hanya dihuni mereka bertiga manakala seorang lagi anak kepada mangsa lelaki pulang beraya sebelum kembali ke Johor pada Isnin lalu,” katanya. – UTUSAN










