Polis digesa dakwa pihak hina simbol agama

Polis digesa dakwa pihak hina simbol agama

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera terhadap pihak yang didakwa menghina simbol agama susulan perbincangan kabinet mengenai perkara itu semalam.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, agensi penguat kuasa perlu melaksanakan tindakan susulan bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan keamanan negara terus terpelihara selaras dengan pendirian jelas kerajaan mengenai perkara itu.

“Pihak polis bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan mengekalkan ketenteraman awam. Ini adalah tanggungjawab asas yang tidak boleh dikompromi.

“Namun begitu, akhir-akhir ini kita melihat kurangnya tindakan diambil terhadap mereka yang melemparkan kebencian kaum sehingga mengakibatkan ketegangan yang mengancam kestabilan negara kita.

“Kes-kes terkini melibatkan penyalahgunaan al-Quran adalah sama sekali tidak boleh diterima tetapi tindakan pantas yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab wajar dipuji dan menjadi contoh bahawa perbuatan sedemikian tidak akan ditoleransi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Gobind berkata, tindakan segera juga perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak menghormati Soolam iaitu simbol suci agama bagi masyarakat Hindu.

Katanya, kegagalan bertindak dalam kes seperti itu boleh menyebabkan ketegangan kaum semakin memuncak.

“Kita mesti mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum dan satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan menegakkan serta menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya menyeru Ketua Polis Negara mengambil langkah segera mengenal pasti dan membawa mereka yang bertanggungjawab mencemarkan simbol agama ke muka pengadilan. Malaysia tidak mampu berdepan keadaan tanpa undang-undang atau pergolakan kaum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN