Perkukuh perpaduan umat Islam dunia

Perkukuh perpaduan umat Islam dunia

AHMAD Yakob dan Mohd. Nassuruddin Daud (tengah) bersama sebahagian peserta  Himpunan Solidariti Bersama Iran di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Negara-negara Islam perlu memperkukuh perpaduan dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada perselisihan antara mazhab demi membina kekuatan untuk menentang musuh-musuhnya, terutama Israel bersama Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, umat Islam di seluruh dunia sepatutnya memberikan tumpuan penuh kepada perpaduan, lebih-lebih lagi ia juga adalah punca kekuatan sebenar ekonomi negara-negara Islam.

Katanya, negara-negara Islam akan lemah seandainya tiada perpaduan dan sekiranya dihalang sejak awal, bermakna umat Islam sendiri sudah menghalang kekuatan negara-negara berkenaan.

“Mungkin sudah menjadi takdir Allah supaya kita merenung apa yang berlaku (perang Israel bersama AS dengan Iran). Sunni (Ahlussunnah Wal Jama’ah) ahli kiblat, Syiah juga ahli kiblat.

“Sepatutnya bukan hanya pada masa ini tetapi untuk selama-lamanya, kita (Sunni dan Syiah) mesti bersatu untuk menghadapi kuasa barat yang jelas tidak mahu kepada Islam,” katanya selepas Himpunan Solidariti Bersama Iran di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, Himpunan Solidariti Bersama Iran dianjurkan oleh Pemuda Pas serentak di seluruh negara demi menunjukkan sokongan parti itu terhadap rakyat Palestin dan Iran yang sudah lama dianiayai Israel bersama AS.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dalam ucapannya berkata, dunia ada undang-undang dan jika pihak yang menggubal undang-undang dunia itu sendiri tidak menghormatinya, keadaan menjadi huru-hara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN