Perang Iran: 3,000 mati, rugi RM2.7 trilion

Perang Iran: 3,000 mati, rugi RM2.7 trilion

KEPULAN asap tebal kelihatan naik dari lokasi serangan di Teheran susulan serangan yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran sejak 28 Februari yang mencetuskan peperangan kini merebak ke seluruh Asia Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-ku­rangnya 3,214 individu terkorban manakala kerugian dianggarkan mencecah AS$590 bi­lion atau RM2.78 trilion selepas genap sebulan konflik perang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula 28 Februari lalu.

Angka korban itu merangkumi 1,937 rakyat Iran terma­suk wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 24,800 ce­dera akibat serangan yang dilancarkan, pada masa sama, konflik tersebut turut mengorbankan sekurang-kurangnya 13 anggota tentera AS dan 19 warga Israel.

Serangan berskala besar itu turut memberi kesan kepada negara-negara lain di rantau Asia Barat, khususnya yang menjadi pangkalan operasi ketenteraan AS.

Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Antarabangsa dan Siyar (CILAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, jumlah kerugian global setakat ini dianggarkan sekitar AS$590 bilion berdasarkan kesan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

Katanya, angka tersebut berpotensi melonjak sehingga AS$3.5 trilion (RM13.7 trilion) sekiranya konflik berlarutan.

“Dalam tempoh 96 jam pertama pelaksanaan sekatan dan gangguan pasaran, pasaran ekuiti global dilaporkan susut sehingga AS$3.2 trilion (RM12.5 trilion).

“Belum termasuk gangguan terhadap perdagangan global yang dianggarkan mencecah kerugian AS$15.8 bilion (RM62 bilion) sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, konflik berkenaan berpotensi mencetuskan krisis makanan global sekiranya rantaian bekalan terus terjejas.

Sehingga kini, situasi di Asia Barat terus meruncing dengan peningkatan serangan ketenteraan, peluasan konflik ke beberapa wilayah baharu serta tekanan ekonomi global, manakala usaha diplomatik masih belum menunjukkan hasil apabila Iran, AS dan Israel terus berkeras.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Asia Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Prof. Madya Dr. Bakri Mat berkata, rundingan antara AS dan Iran dilihat sukar mencapai kejayaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kedua-dua pihak meletakkan syarat yang sukar dipenuhi antara satu sama lain, sekali gus menjadikan konflik berpotensi berlanjutan.

“Antara tuntutan AS adalah supaya Iran menghentikan pembangunan senjata nuklear dan sokongan kepada proksi, manakala Iran pula menuntut jaminan keselamatan jangka panjang serta pengunduran AS dari Asia Barat.

“Keadaan ini mewujudkan situasi ‘zero-sum game’ yang menyukarkan sebarang penyelesaian,” katanya.

Tambah beliau, kemungkinan penglibatan operasi darat oleh AS juga berisiko tinggi berikutan faktor geografi Iran serta kekangan logistik di rantau tersebut.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, konflik berkenaan berpotensi mencetuskan krisis ekonomi global seperti yang pernah berlaku lebih empat dekad lalu.

“Sejarah menunjukkan kejutan harga minyak biasanya memberi kesan berantai kepada inflasi, pertumbuhan perlahan dan tekanan fiskal, khususnya bagi negara membangun yang bergantung kepada import.

“Tambahan pula, ekonomi global kini memasuki fasa perlahan yang dijangka berlarutan hingga 2029 atau 2030,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun impak sebenar masih sukar diukur, perang yang berpanjangan dijangka menjadi pemangkin kepada tekanan ekonomi global yang lebih besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN