Penyertaan kembali ahli UMNO, KJ perkukuh Rumah Bangsa - Utusan Malaysia

Penyertaan kembali ahli UMNO, KJ perkukuh Rumah Bangsa

ZAMBRY Abd Kadir (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Penyertaan kembali tokoh-tokoh berpengaruh termasuk Khairy Jamaluddin ke dalam UMNO diyakini akan memperkukuh lagi kelangsungan agenda Rumah Bangsa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, setiap individu yang pernah bersama parti itu mempunyai kekuatan dan sumbangan tersendiri yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan bersama.

“Konsep Rumah Bangsa bukan tertumpu kepada seorang individu sahaja, ia dibuka kepada semua kerana prinsip kita ialah tindakan kolektif.

“UMNO berperanan sebagai landasan bukan untuk seorang tetapi untuk semua termasuklah KJ (Khairy Jamaluddin).

“Jadi, masing-masing mempunyai kekuatan dan sumbangan yang boleh dilakukan seperti mana yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung, di sini hari ini.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Mengulas lanjut beliau berkata, konsep Rumah Bangsa seperti yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertujuan menjadikan UMNO sebagai asas perpaduan bangsa.

Katanya, UMNO pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1946 sebagai ‘Rumah Pertama Bangsa’ itu menghimpunkan lebih 100 pertubuhan Melayu untuk bersatu menghadapi cabaran besar pada waktu itu, iaitu penentangan terhadap Malayan Union.

“Sejak itu, UMNO terus menjadi Rumah Bangsa yang besar walaupun perjalanan politik berubah sebelum dan selepas merdeka, dengan pelbagai parti lahir daripada perut UMNO sendiri,” katanya.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.

Antara kesalahan mereka ialah didakwa menjadi calon Bebas dan selain BN, serta terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN