PUTRAJAYA: Kesemua penyedia platform ekonomi gig diberi tempoh masa antara tiga hingga enam bulan bagi melaksanakan integrasi sistem untuk caruman pekerja gig dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) susulan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan mengambil pendekatan praktikal dengan memberi ruang penyesuaian kepada industri, khususnya dari aspek teknikal pelaksanaan.
“Selagi pihak terlibat mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyesuaikan diri dan usaha itu dapat dilihat serta dipantau dengan teliti oleh pihak kami adalah wajar untuk diberikan sedikit kelonggaran dalam tempoh moratorium antara tiga hingga enam bulan itu,” katanya menerusi sidang akhbar penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi taklimat media berhubung penguatkuasaan Akta 872, bagi fokus perlindungan sosial, pekerja gig akan mencarum pada kadar 1.25 peratus secara automatik daripada setiap transaksi tugasan, tanpa menganggu tips atau ganjaran e-hailing dan p-hailing.
Caruman itu akan diproses secara automatik oleh penyedia platform sebelum disalurkan melalui integrasi sistem kepada Perkeso.
Pendekatan itu turut membolehkan pekerja gig yang berdaftar di pelbagai platform menyatukan caruman mereka di bawah satu akaun, sekali gus memudahkan pengurusan perlindungan sosial. – UTUSAN










