Penjimatan, penstrukturan semula subsidi stabilkan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Penjimatan, penstrukturan semula subsidi stabilkan ekonomi negara

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim pada Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat 2.0 2026 peringkat negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Langkah penjimatan oleh kerajaan termasuk penstrukturan semula subsidi berjaya mengekalkan kestabilan ekonomi negara meskipun berdepan ketegangan berterusan di Asia Barat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, usaha itu turut membolehkan kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter menerusi program BUDI95 meskipun berdepan kenaikan harga minyak dunia.

Katanya, sebarang dakwaan kononnya usaha kerajaan masih tidak mencukupi perlu dilihat secara objektif kerana segala inisiatif yang dilaksanakan hari ini berpunca daripada penjimatan terdahulu.

“Kalau ada yang menyerang dan mengatakan bahawa tidak cukup lagi apa yang dilakukan oleh kerajaan, saya nak sebut bahawa apa yang kita lakukan kini adalah disebabkan penjimatan yang telah kita laksanakan sebelum ini.

“Keupayaannya dari situ apabila kos (subsidi petrol dan diesel) yang ditanggung bukan kecil, melonjak daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan.

“Ini ialah satu angka yang besar dan jangan pula kita nafikan fakta dan juga kebenarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat 2.0 2026 peringkat negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Menurut Muhammad Kamil, kerajaan sentiasa memantau rapat perkembangan semasa di Asia Barat dan dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Katanya, beberapa langkah susulan telah diambil untuk diadaptasi dengan keadaan semasa sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dalam tempoh yang lama.

“Ketika ini sudah ada perkembangan baik apabila kapal dari Malaysia, Jepun dan beberapa negara lain mula dibenarkan melalui Selat Hormuz, maksudnya ada sinar dari sudut itu.

“Namun, kita perlu kekal berwaspada dan bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

“Realitinya, jika situasi ini berlarutan tanpa penyelesaian tuntas, risiko lebih besar bakal dihadapi apabila harga minyak dunia berpotensi terus melonjak.

“Buat masa ini, keadaan masih dalam kawalan meskipun beberapa negara telah menaikkan harga minyak masing-masing, namun kita masih mampu bertahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN