Pengukuhan keselamatan agenda utama pembangunan negeri di bawah SMJ 2.0 - Hajiji - Utusan Malaysia

Pengukuhan keselamatan agenda utama pembangunan negeri di bawah SMJ 2.0 – Hajiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memperkukuh keselamatan bagi memudahkan pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta memastikan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, potensi Sabah untuk menjadi Hub Ekonomi Biru di Asean Timur amat besar berdasarkan kekayaan biodiversiti lautnya dan kedudukan di laluan perdagangan serantau.

Malah, katanya, dalam kerangka Sabah Maju Jaya 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin, peningkatan infrastruktur pelabuhan dan pembangunan bandar pesisir serta sempadan sebagai hab ekonomi baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun semua potensi ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin.

“Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut tidak akan berkembang dengan baik,” katanya ketika berucap dalam Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026M/1447H kepada Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan bertempat di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Menurut Hajiji, dalam konteks keselamatan negara, Sabah merupakan barisan hadapan Malaysia di Borneo dan di Laut Sulu, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pintu ekonomi maritim Malaysia di rantau ini.

Katanya, khusus di Sabah Timur, kawasan ESSZone atau Zon Selamat Sabah Timur meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

“Kawasan ini diperkukuh melalui peranan ESSCOM yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah, dan kewujudannya menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur.

“Oleh itu, pengukuhan keselamatan amat penting, bukan saja melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber laut,” katanya. – UTUSAN
CAPTION
HAJIJI Noor menyampaikan sumbangan biskut raya kepada Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos di Menara Kinabalu, Sabah, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini