GEORGE TOWN : Sebanyak 235 notis kompaun bernilai RM26,950 telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kepada pengendali premis makanan atas pelbagai kesalahan terutamanya melibatkan kebersihan semasa mengendalikan makanan bermula awal Ramadan lalu sehingga kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ia susulan pelaksanaan 18 operasi pemeriksaan di premis-premis yang melibatkan bazar Ramadan serta outlet makanan lain di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 1,256 gerai telah diperiksa sepanjang pelaksanaan operasi itu manakala seramai 2,452 pengendali makanan turut disaring dan diberi pendidikan kesihatan.
“Selain itu, sebanyak 60 sampel makanan telah diambil untuk analisis makmal dan tindakan susulan akan diambil sekiranya pengendali yang terlibat tidak mematuhi standard keselamatan makanan yang ditetapkan.
“Setakat ini juga, tidak ada sebarang rampasan dilakukan. Namun, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan yang serius,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan sesi Jelajah Mesra (Walkabout) Bazar Ramadan 2026 bersama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin di bazar Ramadan Prangin Mall di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Daniel memberitahu, JKNPP sememangnya menggalakkan pengendali makanan untuk menggunakan sarung tangan yang sesuai ketika menyediakan makanan atas faktor kebersihan.
Dalam hal ini katanya, penguatkuasa atau petugas JKNPP yang ‘turun padang’ akan memberi nasihat terlebih dahulu berhubung perkara tersebut melalui pendidikan kesihatan awam sebelum mengenakan apa-apa tindakan kepada pengendali makanan yang terlibat.-UTUSAN










