BESUT : “Sama ada kebetulan atau sebaliknya, pengelap cermin kereta dinaiki kami sekeluarga hampir tercabut berdekatan lokasi jasad Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar ditemukan.”
Demikian kongsi sepupu mangsa, Farah Syuhada Ibrahim yang bersama ahli keluarganya menggerakkan usaha mencari Ahmad Azreeq Zafreen selepas dilaporkan kehilangan jejak ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands, Pahang, Khamis lalu.
Farah Syuhada, 21, berkata, ketika penemuan jasad Ahmad Azreeq Zafreen, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas hadir ke Balai Polis Kampung Raja berhubung kes kehilangan sepupunya itu bersama ahli keluarga lain.
Katanya, mereka sengaja melalui laluan Kampung Benting Lintang untuk mencari dan bertanya penduduk di situ jika melihat Ahmad Azreeq Zafreen melalui lokasi berkenaan dalam tempoh dia dilaporkan hilang.
“Semasa ayah, Ibrahim Sulaiman, 67, berhenti ditepi jalan untuk membetulkan pengelap cermin, secara kebetulan terserempak dengan seorang rakan dan memaklumkan tentang kehilangan arwah.
“Selepas itu, kami menyambung perjalanan untuk pulang ke Kuala Terengganu dan sewaktu sampai di Kampung Bari, Setiu kami dihubungi salah seorang lagi rakan ayah yang menyatakan jasad arwah ditemukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Besut, di sini malam ini.
Susulan itu, mereka berpatah kembali ke lokasi mangsa ditemukan dan ketika sampai mendapati polis telah berada di situ.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Zaiton Awang, 62, berkata, jasad Ahmad Azreeq Zafreen ditemukan bersama motosikalnya dengan berpakaian serta berkasut putih sebagaimana kali terakhir arwah dilihat.
“Walaupun sedih dengan insiden yang menimpa anak saudara saya ini, kami sekeluarga bersyukur kerana mayat Allahyarham ditemukan selepas tiga hari pencarian.
“Selepas selesai urusan di Hospital Besut, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, teka teki kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen, 19, ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands sejak Khamis lalu terjawab apabila ditemukan maut akibat terbabas di Kampung Bukit Jeruk, Besut kira-kira pukul 6.40 petang ini. – UTUSAN










